KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima ucapan tahniah di Dewan Rakyat hari ini kerana mencatat rekod sebagai pemimpin pertama dapat menghimpunkan dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China tatkala kedua-dua negara itu sedang berdepan ketegangan membabitkan isu perang tarif.
Perkara itu dinyatakan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang turut menyifatkan ia merupakan penghormatan besar bagi Malaysia, malah meletakkan negara ini dalam kedudukan ‘middle power’ (kuasa pertengahan) yang sangat unik.
“Tahniah kepada Perdana Menteri kerana tercatat dalam rekod pemimpin pertama dapat menghimpunkan kedua-dua kuasa besar China dan AS di masa ketegangan perang tarif. Ini penghormatan besar bagi Malaysia. Meletakkan kita dalam kedudukan ‘middle power” yang sangat unik. Selepas (Malaysia) tamat Kepengerusian ASEAN, apakah harapan Perdana Menteri supaya kedudukan Malaysia sebagai ‘middle power’ tidak hilang?,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menjawab soalan tersebut, Perdana Menteri berkata, perkara itu sememangnya unik kerana Malaysia mampu mengendalikan kehadiran AS, Russia, China dan negara yang hubungan masing-masing kelihatan tegang.
Menurut beliau, China akan diwakili
Oleh Premier Li Qiang kerana Presiden Xi Jinping telah hadir ke Malaysia sebelum ini, manakala Presiden AS, Donald Trump akan tiba di Malaysia lebih awal berdasarkan jadual lawatan.
Kata Anwar, Trump bagaimanapun hanya hanya datang dan mengadakan pertemuan bilateral dengan beliau dan Malaysia sebelum menghadiri mesyuarat khas dengan ASEAN.
“Esoknya dia (Trump) pulang, jadi pertemuan-pertemuan lain, itu setakat yang saya lihat jadual AS tidak masuk, tapi sekurang-kurangnnya dia melihat Malaysia dengan dasar ‘centrality’, satu-satunya negara yang boleh mengumpulkan negara yang berlainan pandangan.
“Kita terima mereka bukan kerana ASEAN sahaja, tetapi kerana dasar luar kita yang memilih bersahabat dengan semua untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia malah masih menjalin hubungan dengan Iran walaupun tidak dipersetujui beberapa negara lain dan itu tidak pernah menghalang Malaysia untuk mengambil keputusan yang bebas.
“Apakah kemungkinan kita dapat teruskan peranan seperti Pengerusi ASEAN? Sudah tentunya tidak kerana statusnya kita terima perubahan, tetapi hubungan Malaysia dan negara lain adalah baik.
“Hubungan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin itu hubungan langsung dengan kita walaupun tidak disenangi banyak negara di Eropah, tetapi dengan Kesatuan Eropah kebelakangan ini telah mempercepatkan proses rundingan dagangan yang telah terhalang sekian lama. Mereka mahu selesaikan akhir tahun ini atau selewatnya awal tahun depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














