PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz percaya pasukannya sepatutnya mampu tampil lebih baik ketika menewaskan kelab China, Chengdu Rongcheng 2-0 di Stadium Phoenix Hill Sports Park, kelmarin.
Bagaimanapun, faktor padang yang kurang baik di venue berkenaan memaksa Munoz melakukan pendekatan berbeza mengikut kesesuaian dengan apa yang dirancang lebih awal, namun masih berjaya membawa pulang tiga mata penuh.
“Paling penting, ini adalah perlawanan yang bagus, pemain memahami situasi perlawanan dan mereka memahami apa yang perlu kita lakukan. Kita sebenarnya mampu bermain dengan lebih baik.
“Tetapi pemain faham situasi yang terpaksa mereka hadapi ketika berada atas padang dan apa yang mereka perlu lakukan. Kita boleh ucapkan tahniah kepada pemain, tiada apa yang percuna sebaliknya mereka berikan aksi sangat bagus,” katanya.
Kemenangan itu juga menyaksikan JDT menamatkan penantian untuk meraih kemenangan sulung pada saingan pentas Asia selepas hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan lalu.
Pada perlawanan kelmarin, Harimau Selatan memulakan perlawanan dengan penuh sempurna apabila berjaya memperoleh gol pembukaan seawal minit ke-5 menerusi Oscar Arribas sebelum Nacho Mendez meledak gol kedua, pada minit ke-62.
Sementara itu, Ariff Aiman Hanapi yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan menjelaskan tiga mata kali ini cukup penting bagi membawa Harimau Selatan mara lebih jauh pada penyertaan musim ini.
“Perlawanan yang sukar kerana padang agak teruk, tetapi tidak mengapa, kami bermain dengan corak kami sendiri dan kekal fokus untuk dapatkan kemenangan pertama di ACLE,” katanya.














