fbpx
Gambar hiasan.

Wanita diculik bekas kekasih, dipukul bertubi-tubi kerana tolak cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dilarikan bekas kekasihnya dari pekarangan Masjid Ubaidah, Kampung Melaka Pindah sebelum ditikam, dipijak dan dipukul bertubi-tubi di dada serta kepala gara-gara dia menolak cinta lelaki itu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, mangsa yang berusia 35 tahun dilarikan sejauh kira-kira empat kilometer menggunakan dua buah kenderaan sebelum dia berjaya diselamatkan oleh dua adik lelakinya melalui perkongsian lokasi secara langsung.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun bersama seorang rakannya telah menaiki sebuah Proton Saga sebelum keluar dari bahagian penumpang belakang dan menarik mangsa sambil mengacukan pisau lapah sepanjang 25 sentimeter ke arah leher wanita terbabit.

Katanya, suspek kemudian bertindak mengangkat mangsa secara paksa dan cuba memasukkannya ke bahagian penumpang belakang, namun wanita itu meronta-ronta menyebabkan dia ditikam di lengan kanan.

“Mangsa kemudian dipukul oleh suspek dengan cara dipijak bertubi-tubi di dada dan ditumbuk di kepala selama dua hingga tiga minit sebelum kereta itu berhenti di kawasan rehat dan rawat yang mangsa tidak dapat pastikan di mana secara spesifik.

“Suspek kemudian memindahkan mangsa ke kereta lain jenis Proton Wira merah miliknya sebelum memandu dan memberitahu wanita itu bahawa dia mahu membawanya ke tempat yang tiada orang lain akan dapat menjumpai mereka,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, suspek juga didakwa memegang pedang samurai dan menghalakan mata pedang itu ke arah dada mangsa untuk menakut-nakutkannya.

Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa yang cuba melarikan diri kemudian merayu untuk suspek membelikannya air dan kenderaan telah diberhentikan di sebuah kedai runcit di Taman Sutera Indah, Kelemak.

“Mangsa ditinggalkan seorang diri di dalam kereta suspek yang berkunci dan dia mengambil peluang menghantar mesej WhatsApp kepada bekas suaminya menggunakan telefonnya yang disorok di dalam poket seluar.

“Mangsa beritahu bahawa dia dilarikan oleh suspek dan telah dicederakan, mangsa juga sempat hantar lokasi langsung (live location) untuk meminta bantuan sebelum suspek kembali meneruskan perjalanan,” ujarnya.

Katanya, suspek kemudian memberhentikan kereta di pekarangan sebuah rumah di Alor Gajah sebelum dua adik lelaki mangsa tiba dan memecahkan cermin di bahagian pemandu dari luar.

Ujarnya lagi, suspek yang terkejut telah keluar sambil memegang pedang samurai dan berlaku pergelutan antara mereka, manakala mangsa cuba membantu dengan membaling pasu bunga ke arah muka bekas kekasihnya menyebabkan lelaki itu rebah.

Dzulkhairi berkata, pasukan polis dan ambulans tiba beberapa minit kemudian di lokasi dan membawa mangsa serta suspek ke Hospital Alor Gajah bagi mendapatkan rawatan.

“Motif kejadian dipercayai berpunca kerana mangsa enggan melayan pujukan suspek untuk kembali bersama selepas mengetahui lelaki itu sudah beristeri dan mempunyai anak.

“Hasil siasatan lanjut suspek yang merupakan seorang pesara mempunyai dua rekod lampau jenayah dan lapan berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut 363/326 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI