PETALING JAYA – Dalam suasana konflik Israel-Palestin yang berlarutan, kegembiraan kecil menjadi sesuatu yang amat besar buat penduduk Gaza apabila mereka akhirnya dapat menikmati hidangan ayam selepas lama berada dalam keadaan kebuluran.
Perkongsian menyentuh hati yang dimuat naik oleh @MahmoudMassri15 di X, berkongsi rasa syukur apabila keluarganya bersama lima keluarga lain akhirnya dapat menikmati makanan istimewa itu.
“Hari ini sangat istimewa untuk kami di Gaza. Keluarga saya dan lima keluarga lain akhirnya dapat makan ayam selepas sekian lama.
“Ia mungkin nampak biasa bagi sesetengah orang, tapi bagi kami, ini satu impian yang jadi kenyataan selepas bertahun-tahun penuh kesusahan,” tulisnya di kapsyen.
Dalam satu lagi perkongsian oleh pengguna di X, @Tala_Darwish, seorang wartawan Gaza, turut berkongsi pengalaman menikmati shawarma buat pertama kali selepas lapan bulan berada dalam keadaan kebuluran.
Detik kecil itu, katanya membawa kebahagiaan yang sukar digambarkan dan mereka turut berterima kasih bagi yang membantu untuk menyalurkan bantuan buat mereka.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai pengguna media sosial yang tersentuh dengan kesungguhan penduduk Gaza meneruskan hidup walaupun dalam serba kekurangan dan ancaman.
“Ini memberikan kebahagiaan buat saya juga. Semoga tuhan sentiasa melindungi kamu semua dan Gaza,” komen Susiesue.
“Untuk tempat yang alami pembunuhan beramai-ramai dan kebuluran, rezeki memang akan sentiasa muncul dengan cepat,” kata Casey Babb.
“Jatuh air mata tengok. Sebuah gambar yang sederhana tapi turut membawa makna kesakitan Gaza yang bertahun-tahun lelah dan menunjukkan kesabaran mereka yang masih bertahan walau banyak perkara berlaku,” komen Alardah. – KOSMO! ONLINE
Today was a very special day for us in Gaza.
My family and five other families I care for finally had chicken after such a long time. 🍗
It may seem simple to some, but for us, it was a dream come true after years of hardship.
Today, we felt a rare kind of joy — the joy of food… https://t.co/Pa3VaRlXw8 pic.twitter.com/PKq5asnIXL— Mahmoud Massri | مَحْمُود 🇵🇸 (@MahmoudMassri15) October 21, 2025