fbpx

Terkedu kena caj RM66 untuk dua botol air mineral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas dikenakan caj RM66.04 bagi dua botol air mineral yang disangka percuma ketika menjamu selera di sebuah hotel terkemuka, baru-baru ini.

Menurut perkongsian pelanggan berkenaan di laman Thread, dia pada mulanya tidak menyedari caj tersebut selepas seorang kakitangan menawarkan air mineral sebelum hidangan utama disajikan.

“Datang sini tolong jangan terkena dan tertipu dengan staf cakap ‘saya hidang air mineral dulu ya’. Serius saya terkena semalam RM66.04 untuk dua botol sedangkan kami tak minta.

“Cuma mengiakan saja apa dia cakap sebab dalam kepala otak kami ingat air itu percuma,” katanya.

Jelasnya, rasa tidak puas hati timbul selepas menyemak semula bil yang telah dibayar, sebelum menyedari harga luar jangka itu dikenakan bagi air yang tidak pun diminta secara khusus.

“Kalau tahu mahal begitu, baik order air manis. Rasa macam tertipu juga, sebab tak diberitahu awal,” katanya.

Bagaimanapun, wanita itu memuji kualiti makanan dan kek yang disajikan, serta berharap pihak hotel lebih telus dalam memberi maklumat kepada pelanggan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut menyelar tindakan pihak hotel yang dianggap mengelirukan pelanggan.

“Sangat tidak jujur mereka. Terima kasih kerana membuat aduan, kerana saya juga pasti akan melakukan perkara yang sama. Tidak kira sekerap mana pun pergi ke tempat mewah, yang penting adalah bersikap jujur,” kata Nana.

“Tak sepatutnya berlaku, kalau ikutkan awak tak sepatutnya bayar sebab pelayan tak cakap dengan jelas harga air itu,” kata Pikah.

“Sama juga dengan saya. Suami bawa pergi makan malam di sana sempena hari lahir. Sebenarnya saya tak kisah pun nak bayar, tapi caj tanpa diberitahu awal tu agak janggal. Kalau nak jual tambahan (upsell) pun boleh saja, tapi ini bukan cara yang betul,” kata Zeenee. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI