PETALING JAYA – Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1447H/2026M mula dikeluarkan secara berperingkat mulai Jumaat ini.
Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, bagi mereka yang tidak menerima surat tawaran kerana belum tiba giliran, pihaknya akan membuka peluang merayu bermula 3 November depan melalui platform THiJARI.
Jelas TH, pihaknya akan mengambil kira beberapa kriteria dalam memproses rayuan yang diterima termasuk tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan dan kekerapan rayuan.
Selain itu katanya, bakal haji diingatkan untuk mencukupkan simpanan di TH sekurang-kurangnya kepada RM15,000.
“Ia bagi melayakkan diri untuk menerima tawaran haji atau dalam membuat permohonan rayuan haji, selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan.
“TH menasihatkan bakal jemaah untuk segera mengemaskini maklumat peribadi agar tidak terlepas daripada peluang menunaikan haji dan memeriksa giliran melalui saluran digital THiJARI atau hadir ke cawangan terdekat,” kata TH dalam satu kenyataan
Mengulas lanjut, TH memberitahu, pihaknya telah menganjurkan Kursus Asas Haji di lebih 200 buah masjid di seluruh negara bermula dari 3 Oktober lalu bagi membantu bakal haji mempersiapkan diri dengan ilmu yang cukup untuk menunaikan ibadat haji. – KOSMO! ONLINE