IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM14,294,877.22 daripada tujuh syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (Zapar) di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.
Zapar dalam kenyataannya berkata, penyerahan zakat perniagaan itu didahului Etiqa General Takaful Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairoel Faiezy Hasnan berjumlah RM1,800,000.
“Ia disusuli FGV Holdings Berhad (FGV) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berjumlah RM418,065.00.
“Seterusnya diikuti Lembaga Tabung Haji (TH) yang diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad dengan jumlah sebanyak RM6,773,121.81,” katanya di sini hari ini
Zapar berkata, ia kemudian diikuti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), dengan zakat itu disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Nafas, Saripol Baharin Karim (RM903,690.41).
Selain itu, katanya, Pintas Utama Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir. Zainudin Karjan menyampaikan zakat berjumlah RM500,00.
“Selanjutnya, Plus Malaysia Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Komersialnya, Mohd Fauzi Puniran dengan jumlah RM2,900,000.
“Penyerahan zakat terakhir oleh Takaful Malaysia yang diwakili Pengerusi Badan Penasihat Syariah, Dr. Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani berjumlah RM1,000,000,” katanya.
Zapar berkata, Sultan Perak berkenan menyerahkan zakat perniagaan tersebut kepada Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.
“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak turut berkenan mengurniakan Warkah Penghargaan atas Penyerahan Aset Wakaf Hotel Seri Warisan Taiping kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar).
“Warkah penghargaan telah diterima oleh Hairolanuar Mohamad iaitu Timbalan Ketua Pengarah Jawhar,” katanya. – KOSMO! ONLINE