KETUA jurulatih skuad boling padang negara, Zuraidi Puteh optimis barisan pemainnya mampu menghadirkan impak besar apabila Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Boling Padang 2025 di Bukit Kiara pada 4 hingga 8 November depan.
Menurut Zuraidi, persiapan kali ini dilakukan secara menyeluruh termasuk latihan antarabangsa di Scotland bertujuan menyesuaikan diri dengan format serta permukaan gelanggang sebenar yang bakal digunakan di kejohanan dunia itu.
“Kita sudah adakan perlawanan persahabatan dan latihan di luar negara, termasuk di Portobello, Scotland. Latihan ini penting kerana di situ kita beraksi di gelanggang indoor sebenar yang digunakan pada kejohanan besar dunia,” katanya.
Beliau menambah, pasukan juga bakal menjalani latihan simulasi seminggu sebelum kejohanan bermula, selain mendapat khidmat sokongan profesional meliputi aspek psikologi, prestasi, analisis dan pemakanan bagi memantapkan tahap kesiapsiagaan atlet.
“Sasaran kita sudah tentu untuk berada di podium, tidak kira warna pingat, tetapi kalau boleh kita mahu emas. Kelebihan sebagai tuan rumah perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” tegasnya.
Zuraidi menjelaskan kelebihan Malaysia terletak pada kemudahan bertaraf dunia seperti Stadium Juara dan Stadium Bukit Kiara yang menempatkan gelanggang mudah alih bertaraf antarabangsa, sama seperti digunakan di Scotland.
“Kemudahan di Malaysia sangat baik dan memenuhi piawaian dunia. Saya harap semua peserta akan menikmati pengalaman terbaik di sini dan membawa pulang kenangan manis,” katanya yang bangga Malaysia diberi kepercayaan menjadi tuan rumah edisi pertama.
Dalam pada itu, Zuraidi turut memuji komitmen tinggi pemain yang menjalani latihan harian di Bukit Kiara, termasuk gandingan utama lelaki, Izzat Shameer Dzulkeple dan Muhammad Soufi Rusli serta pemain wanita berpengalaman, Emma Firyana Saroji dan Nurul Alyani Jamil.
“Kami bukan sahaja mahu menjadi tuan rumah yang baik, tetapi juga pencabar utama kejuaraan. Dengan persiapan rapi dan semangat juang tinggi, saya yakin Malaysia mampu muncul juara di laman sendiri, insya-Allah,” ujar Zuraidi.
Terdahulu, skuad itu mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Piala Lion City 2025 di Kallang Lawn Bowls Green & Tanglin Club, Singapura pada Julai. – KOSMO! ONLINE