fbpx
Gambar hiasan.

Seleweng dana zakat: Seorang lagi kakitangan badan berkanun ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang lagi suspek disyaki terlibat rasuah membabitkan penyelewengan peruntukan wang zakat kira-kira RM120,000 bagi 28 pemohon yang tidak layak.

Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati, suspek yang merupakan kakitangan badan berkanun disyaki bersubahat dengan salah sorang suspek wanita yang sebelum ini telah ditahan SPRM pada Ahad lalu.

“Suspek dipercayai bersekongkol bagi memudahkan proses permohonan Insentif Modal Perniagaan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Wilayah Persekutuan,” katanya hari ini.

Menurut sumber, suspek pertama yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh remannya tamat hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, SPRM Kuala Lumpur menahan seorang bekas pekerja sebuah badan berkanun, kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan peruntukan wang zakat berjumlah kira-kira RM120,000 melibatkan 28 pemohon tidak layak.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu, ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, sebelum Mahkamah Majistret membenarkan perintah reman selama empat hari hingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI