fbpx
Pertukaran MoU antara Ahmad Dasuki (dua dari kiri) dan Nik Hisham (dua dari kanan) dengan disaksikan oleh Norliza (tengah).

PTPTN, MyDigital ID perkukuh transformasi digital aplikasi myPTPTN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan My Digital ID Sdn. Bhd. hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk membolehkan PTPTN mengintegrasi identiti digital MyDigital ID ke dalam aplikasi myPTPTN.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, ia sekali gus, meningkatkan kecekapan dan pengalaman pengguna dalam mengakses perkhidmatan secara dalam talian.

Beliau berkata, kerjasama itu juga adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan Malaysia melalui inisiatif Dasar Identiti Digital Nasional (NDID) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menjadi asas kepada transformasi perkhidmatan awam dan pembangunan ekonomi digital negara.

“Selari dengan Teras Ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan, PTPTN telah memperkenalkan aplikasi myPTPTN.

“Sehingga 15 Oktober 2025, lebih 2.8 juta pengguna telah menggunakan myPTPTN secara dalam talian. Melalui platform ini, pengguna boleh membuat permohonan pinjaman, menyemak baki pinjaman, membuat pembayaran balik, serta membuka dan menambah deposit dalam akaun Simpan SSPN dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Norliza berkata, dengan kemajuan itu, pihaknya yakin PTPTN akan terus menjadi organisasi yang lebih efisien dan mesra pelanggan.

“Transformasi ini memberi manfaat besar kepada masyarakat membolehkan mereka berurusan secara mudah, cepat dan selamat dari rumah, kampus atau di mana sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn. Bhd., YBrs. Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, pihaknya yakin, usaha seperti ini bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan negara, malah turut meletakkan asas kukuh untuk pertumbuhan inovasi dalam sektor pendidikan.

“Lebih penting, ia membantu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap transaksi digital sekaligus menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani MoU tersebut telah diadakan di Menara PTPTN, Kuala Lumpur yang dimeterai oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Nik Hisham dengan disaksikan oleh Norliza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI