KUALA LUMPUR – Polis giat memburu suspek yang terlibat dalam kejadian membunuh lelaki warga asing di Persiaran Ara Kiri, Bangsar di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan mendapati kejadian pada pukul 10.21 malam itu melibatkan mangsa berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai gelandangan.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 8.03 pagi tadi.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan luka di kepala,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan saksi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (03-2297 9222) atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Muhamad Nabil Afif Abdul Rahman (012-695 5051).
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah di kaki lima sebuah restoran di Jalan Ara Kiri, Bangsar.
Saksi kejadian, Mohamed Faizal Basirudin, 40-an, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika dalam perjalanan untuk bersarapan bersama isterinya pada pukul 7.15 pagi. – KOSMO! ONLINE