KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi memastikan kelancaran Persidangan ASEAN yang bakal menghimpunkan sehingga 23 ketua kerajaan di ibu negara minggu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan keselamatan bermula sejak 16 Oktober lalu dengan pelaksanaan beberapa latihan dry run membabitkan beberapa laluan protokol.
Beliau berkata, semua laluan protokol telah dikenal pasti dan penutupan jalan secara berperingkat akan dilakukan sepanjang tempoh sidang bagi memastikan pergerakan delegasi berjalan lancar.
“Kita tidak gunakan istilah lockdown kerana ia tidak tepat. Apa yang dilakukan hanyalah kawalan dan penutupan sementara di beberapa laluan tertentu atas faktor keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.
Saifuddin berkata, fokus utama keselamatan tertumpu kepada ketua-ketua kerajaan berprofil tinggi, bergantung kepada latar belakang negara masing-masing serta isu geopolitik semasa.
“Persiapan turut melibatkan lebih 20 hotel penginapan rasmi yang menempatkan tetamu dan delegasi, dengan koordinasi rapat antara pasukan keselamatan di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Saya menyeru masyarakat memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan, khususnya di kawasan Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) dan hotel penginapan tetamu. Aktivis masyarakat sivil juga bebas menyampaikan pandangan, tetapi elakkan berhimpun dalam radius keselamatan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, serta barisan kepimpinan PDRM di peringkat negeri yang sentiasa memberikan taklimat terkini mengenai status keselamatan menjelang persidangan tersebut. – KOSMO! ONLINE