GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan seorang lelaki yang aktif melakukan kegiatan ragut hingga mencederakan mangsa selepas menahannya dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sitiawan, Perak, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan dijalankan sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) pada 12 Oktober lalu, kira-kira pukul 2 pagi.
”Dalam serbuan ini, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun yang disyaki terlibat dalam kes samun ragut hingga mendatangkan kecederaan di kawasan Timur Laut.
”Polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan ragut tersebut,” katanya di sini, hari ini.
”Siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah meronda menaiki motosikal dan menyasarkan penunggang motosikal lelaki yang memakai rantai emas sebagai mangsa.
”Hasil tangkapan membolehkan polis menyelesaikan 11 kes samun ragut di sekitar Pulau Pinang serta tiga kes di daerah Kulim, Kedah,” ujarnya suspek kini direman selama 10 hari bagi membantu siasatan lanjut.
Semakan rekod mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan enam kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine. -KOSMO! ONLINE