PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya pasukan elit itu melakukan serangan di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.
Katanya, dakwaan itu juga merupakan satu fitnah yang berniat jahat terhadap Maritim Malaysia.
“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi.
“Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Mohd. Rosli berkata, latihan dijalankan itu ialah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dilaksanakan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).
Ia merupakan latihan penting bagi membentuk daya tahan, disiplin dan kebijaksanaan anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan misi penyamaran.
“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.
“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” katanya.
Katanya, tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana dakwaan, sebaliknya para pelatih hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid tersebut.
“Elemen keagamaan diterapkan sebagai asas pegangan para pelatih dalam meningkatkan jati diri dan integriti mereka sebagai seorang penguat kuasa dan operator pasukan khas,” katanya.
Pada masa sama, katanya, isu laporan polis yang timbul telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku. – KOSMO! ONLINE