BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang disingkirkan baru-baru ini meletak jawatan sebagai ketua parti yang diasaskan bapanya, Thaksin Shinawatra, menandakan kemungkinan berakhirnya dinasti politik keluarga itu selama berdekad-dekad.
Paetongtarn, 39, berkhidmat kurang setahun sebagai perdana menteri sebelum dipecat oleh mahkamah pada Ogos lalu ekoran pelanggaran etika berkaitan pengendaliannya dalam pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Parti Pheu Thai mengumumkan peletakan jawatan Paetongtarn dalam satu kenyataan hari ini dengan memetik beliau sebagai berkata, langkah itu akan membolehkan parti tersebut menjalani ‘baik pulih’ sepenuhnya.
“Perletakan jawatan saya akan membolehkan parti dinaik taraf, jadi akhirnya kita boleh memenangi pilihan raya,” kata Paetongtarn.
Dinasti Shinawatra selama dua dekad menjadi musuh utama kumpulan elit pro tentera dan pro diraja Thailand yang melihat jenama politik populis mereka sebagai ancaman kepada tatacara sosial tradisional.
Ia bagaimanapun menghadapi beberapa siri kemunduran undang-undang dan politik termasuk pemenjaraan Thaksin tahun ini disebabkan salah laku rasuah semasa memegang jawatan. – AFP