fbpx
JUN HAO

Misi sukar Jun Hao lawan Axelsen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao tidak berdepan tugas mudah pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Cesson-Sevigne apabila dijadualkan bertemu juara dua kali Sukan Olimpik, Viktor Axelsen seawal pusingan pertama hari ini.

Dengan rekod satu pertemuan dimenangi pemain Denmark itu pada Terbuka Singapura tahun lalu, Jun Hao perlu mempamerkan aksi terbaik sekiranya berhasrat meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen sudah merangka persiapan terbaik buat anak buahnya itu hasil analisis daripada kekalahan di Terbuka Denmark.

Beliau menjelaskan, masih ada beberapa aspek perlu diperhalusi dalam corak permainan Jun Hao, terutamanya dari segi taktikal selain kemampuan untuk memberikan tekanan kepada pemain lawan.

“Aksi Terbuka Perancis, kami memberi tumpuan untuk memperbaiki beberapa perkara yang sudah dikenal pasti hasil daripada perlawanan di Terbuka Denmark. Berdepan Viktor (Axelsen) merupakan satu tugas besar.

“Kami tidak benar-benar berjaya untuk memberikan tekanan kepada Li Shi Feng sebelum ini sehingga dia mengawal sepenuhnya tempo dan permainan. Kesilapan sendiri juga turut menamatkan peluang Jun Hao,” katanya.

Pada aksi Terbuka Denmark minggu lalu, bekas juara remaja Asia itu terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada Shi Feng dengan keputusan straight set 13-21, 16-21 dalam tempoh 45 minit.

Meskipun dijangka berdepan aksi sukar menentang Axelsen, namun Jun Hao tetap memiliki peluang untuk menang, lebih-lebih lagi lawannya baru sahaja pulih daripada pembedahan belakang pada April lalu.

Sebagai rekod, aksi Jun Hao musim ini boleh dianggap kurang memberangsangkan apabila hanya dua kali melangkah ke pusingan suku akhir, iaitu pada Terbuka Singapura Jun lalu serta Terbuka Hong Kong bulan lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI