fbpx
Tommy dan Ling ditemui di Bangunan AICB, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

‘Memang rasa tertekan, takut skim GRR terus berhenti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beberapa pembeli hartanah tampil mendakwa menjadi mangsa kepada skim Pulangan Sewa Terjamin (GRR) sebuah projek apartmen yang kononnya diuruskan oleh jenama hotel antarabangsa lima bintang.

Menurut mereka, janji pulangan sewaan tetap setiap bulan serta perkongsian keuntungan yang ditawarkan syarikat terbabit tidak ditunaikan selepas projek siap.

Seorang mangsa, Tommy, 37, berkata, dia tertarik untuk melabur selepas melihat iklan di media sosial kira-kira lima tahun lalu yang mempromosikan projek itu sebagai pelaburan hartanah berpotensi tinggi.

“Bila dengar hotel besar terlibat dan sistem nampak profesional, memang mudah percaya. Saya ajak kakak buat pinjaman bersama sebab gaji saya tak cukup. Kami fikir ini pelaburan stabil untuk masa depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bangunan AICB di sini, hari ini.

Namun katanya, selepas bangunan siap, unit yang dibeli masih belum sedia diduduki, manakala bayaran GRR sering lewat atau langsung tidak diterima.

“Setiap bulan kami masih kena bayar pinjaman bank, tapi tak ada sewa masuk. Memang rasa sangat tertekan dan takut kalau satu hari nanti GRR terus berhenti,” ujarnya.

Ling yang berasal dari Kuala Lumpur turut mempersoalkan kemampuan kewangan syarikat itu apabila mendapati ia hanya mempunyai modal berbayar yang sangat rendah.

“Kalau modal pun kecil, dari mana mereka dapat duit untuk bayar GRR kepada semua pelabur?” katanya.

Sementara itu, Ling, 37,dari Lembah Klang, berkata dia menyertai skim tersebut pada tahun 2021 selepas tertarik dengan lokasi strategik projek serta tawaran pulangan sewaan dan perkongsian keuntungan.

“Selepas projek siap, saya hadir mesyuarat tahunan pertama pemilik unit. Waktu itu baru saya sedar, pemilik tiada banyak kuasa dalam membuat keputusan, malah yuran pengurusan dinaikkan tanpa penjelasan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian dimaklumkan bahawa skim GRR sepatutnya didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Bila tahu begitu, saya mula ragu sama ada tawaran sebelum ini benar-benar berdaftar dan sah di sisi undang-undang. Saya harap BNM dapat siasat agar hak pelabur dilindungi,” ujarnya.

Sebanyak 69 mangsa yang mengalami kerugian kira-kira RM47.2 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim GRR bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia telah membuat laporan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia, SSM dan terbaru Bank Negara bagi membolehkan siasatan penuh dilakukan terhadap syarikat-syarikat yang terlibat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI