PETALING JAYA – Remaja lelaki yang menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini yang didakwa atas pertuduhan membunuh, dibenar menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak.
Perkara itu disahkan peguam Kitson Foong, yang merupakan amicus curiae (sahabat mahkamah), semasa prosiding pertuduhan dibaca yang mana mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Sejurus selepas prosiding Kitson, yang turut membantu peguam Anwar Ezzad Zainal yang mewakili tertuduh juvana berusia 14 tahun ketika ditemui berkata, antara alasan permohonan itu ialah demi kepentingan tertuduh.
“Laporan psikiatri mesti menangani kewarasan sama ada tertuduh mampu membuat pengakuan dan memahami sifat prosiding hari ini. Lebih penting ialah keadaan fikirannya ketika melakukan kesalahan tersebut,” katanya.
Terdahulu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan pesalah juvana berusia 14 tahun tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal berikutan kes bunuh berada dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad. Kes disebut semula 21 November ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis telah menahan supek yang juga seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah terbabit sekitar pukul 9.30 pagi.
Sejurus selepas kejadian itu, keluarga mangsa dalam satu sidang akhbarnya mendakwa terdapat kira-kira 200 tikaman ditemui pada badan remaja perempuan tersebut yang ditemui mati dalam tandas di sekolah itu.
Ibu mangsa dipetik berkata, berdasarkan penjelasan ahli patologi, kecederaan yang dialami anak bongsunya itu meliputi bahagian leher, termasuk bahagian rusuk, namun tiada kesan tikaman pada muka. – KOSMO! ONLINE