KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan maut di kaki lima sebuah restoran di Jalan Ara Kiri, Taman Lucky, Bangsar di sini, hari ini.
Saksi kejadian, Mohamed Faizal Basirudin, 40-an, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika dalam perjalanan untuk bersarapan bersama isterinya kira-kira pukul 7.15 pagi.
“Saya baru memakir kenderaan berhampiran restoran itu dan ternampak seorang lelaki terbaring. Saya rasa pelik apabila lihat banyak lalat menghurung mukanya.
“Pada masa itu saya tidak pasti sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Difahamkan, mangsa dipercayai mati akibat ditolak seorang lelaki berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.
“Polis kini sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE