fbpx
Mohamad Azhar menunjukkan cerut lebih RM6 juta dirampas pihaknya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Harga rokok naik: Kastam Selangor gempur kedai runcit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Jabatan Kastam Selangor akan mempergiatkan penguatkuasaan termasuk di premis-premis yang menjual rokok seludup bermula 1 November ini.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, langkah itu bertepatan dengan kenaikan kadar duti eksais ke atas produk rokok berkuat kuasa tarih sama seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini, harga rokok dinaikkan dua sen sebatang, manakala cerut, cheroots dan cigarillos pula naik kepada RM40 sekilogram.

Produk heated tobacco juga dinaikkan RM20 sekilogram bagi kandungan tembakaunya.

“Kita akan lebih agresif dalam penguatkuasan di mana-mana premis yang menjual rokok seludup.

“Kita akan perangi habis-habisan termasuk dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah di sini hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan pengimportan rokok seludup itu berlaku susulan permintaan yang tinggi.

“Tindakan tegas akan diambil dan kita akan bertindak bagi memastikan pengikraran dilakukan dengan betul (bagi barangan yang masuk dari pelabuhan khususnya rokok),” katanya.

Mohamad Azhar berkata, pihaknya berjaya merampas 8,750 kilogram cerut bernilai lebih RM6 juta termasuk cukai di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat.

Siasatan awal mendapati barangan itu berasal dari sebuah negara di benua Asia. Siasatan turut mendapati kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 18 Julai lalu.

“Kita percaya pengimport sedang mencari ruang untuk membawa keluar kesemua cerut yang disimpan dalam kontena tersebut,” katanya.

Tambahnya, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengikrar barangan minuman dan lain-lain bagi mengelak keperluan permit import. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI