KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah sedang merumuskan kaedah baharu dalam menentukan perkiraan pemberian khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran keseluruhan pemberian khas sebanyak RM600 juta yang disempurnakan pada 10 September lalu adalah bersifat interim.
“Pemberian khas kepada Sabah telah pegun pada kadar RM26.7 juta sehinggalah tahun 2021. Pada tahun 2019, Kerajaan Sabah bersetuju dengan cadangan meningkatkan pemberian khas kepada RM53.4 juta ringgit.
“Kajian semula dibuat pada tahun 2022 dan persetujuan bersama pada masa itu dicapai untuk menaikkan kepada RM125.6 juta. Bawah Kerajaan Madani, kajian semula pemberian khas juga dilaksanakan pada tahun 2023.
“Kita mencapai persetujuan menggandakan kadar pemberian khas kepada RM300 juta. Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar pemberian khas kepada RM600 juta,” katanya ketika menyampaikan sesi penerangan khas Perdana Menteri berkaitan isu pemberian khas Sabah di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah meningkat sekitar RM14 bilion bagi tahun 2023 dan 2024 berbanding RM13 bilion pada 2022.
Kata beliau, Kerajaan Madani terus meningkatkan peruntukan kepada Sabah mencecah RM17 bilion bagi tahun 2025 dan 2026.
Ujar beliau, perbelanjaan itu jauh melebihi jumlah hasil yang telah dikutip di Sabah untuk tahun 2022, 2023 dan 2024 iaitu sekitar RM10 bilion setahun.
“Ini bermakna Kerajaan Madani telah membelanjakan lebih daripada hasil keseluruhan pendapatan di Sabah,” katanya.
Tambah beliau, menerusi Belanjawan 2026, peruntukan pembangunan di Sabah mencecah hampir RM7 bilion iaitu yang tertinggi berbanding negeri lain.
Beliau berkata, dibawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), projek yang disenaraikan juga telah mengambil kira permohonan keutamaan Kerajaan Sabah.
“Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta), Jalan dari Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta) dan Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1a (RM200 juta)
“Meneruskan semula pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan projek RM14 bilion merangkumi RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion dibiayai melalui pinjaman.
“Sejak 2024 juga, kerajaan telah menyediakan pembiayaan RM1 bilion untuk projek air Sabah dan ini dijangka siap tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, sebanyak 13 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. kepada Kerajaan Sabah.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.
“Kerajaan Madani juga mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
“Kita juga telah menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan Projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah sehingga RM50 juta. Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) Akta 53 pula melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Tetap LHDN,” katanya. – KOSMO! ONLINE