KUALA LUMPUR – Pelakon sensasi Uqasha Senrose memberi amaran agar khalayak tidak mengaitkan hal anak dalam isu pergolakan rumah tangganya bersama suami yang juga pelakon Kamal Adli.
Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, menegaskan bahawa dia menjaga anak tunggalnya iaitu Hawa Uqaira sejak kecil.
“Jangan sentuh anak saya. Tak ada kena mengena dengan anak.
“Saya jaga dia sejak kecil,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Ditanya mengenai keadaan anak tunggalnya itu, pelakon filem Paku Pontianak tersebut menjelaskan bahawa puterinya masih kecil dan belum boleh bercakap, termasuk mengenai pertanyaan tentang bapanya.
“Dia umur setahun nak tanya apa,” tegasnya.
Sepanjang sesi temu bual, Uqasha dilihat enggan mengulas lanjut dan hanya mengangguk bagi menjawab beberapa soalan yang diajukan pihak media.
Sementara itu, peguam mewakilinya iaitu Nurfarhana Abd. Manaf memaklumkan anak guamnya enggan menjelaskan soal anak selain memberi tumpuan kepada isu tiada persefahaman antara pasangan selebriti itu.
“Kalau boleh kita tak nak sentuh apa apa berkaitan isu anak.
“Antara alasan hari ini tiada persefahaman sahaja, jadi berkaitan anak-anak tak ada kena mengena,” katanya lagi.
Hari ini, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan tarikh 28 Oktober bagi prosiding kedua perceraian Uqasha dan Kamal.
Sebelum ini, Uqasha memaklumkan terpaksa mengorbankan waktu tidur apabila anak perempuannya, Hawra Uqaira mengalami batuk berpanjangan sejak beberapa hari lalu.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan Hawra pada April tahun lalu. – KOSMO! ONLINE