KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan bertegas terhadap syarikat asing yang dituduh di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Beliau berkata, sebelum ini sebuah syarikat asing didapati membawa masuk pekerja secara tidak sah dengan menggunakan visa lawatan untuk projek mereka di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Justeru, kata beliau, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa tiada campur tangan atau ‘double standard’ (pilih kasih) akan berlaku dalam tersebut.
“Saya bimbang kalau kerajaan ditekan entiti asing untuk melonggarkan pelepasan AMLA ini. Sedangkan (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak masuk penjara, parti saya pun kena Akta AMLA.
“Kita masuk ke mahkamah untuk selesaikan masalah ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menjawab soalan tersebut, Hui Ying berkata, kerajaan hendak memastikan integriti sistem kewangan di Malaysia diatur dan dilayan secara telus dan adil untuk semua pihak.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak memiliki maklumat kes yang dimaksudkan oleh Wan Ahmad Fayhsal dan akan memberi jawapan terperinci mengenainya secara bertulis. – KOSMO! ONLINE