LONDON – Kapten Chelsea, Reece James berazam untuk terus menampilkan aksi terbaik menjelang pertemuan menentang Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stamford Bridge awal pagi esok.
Pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan permainan sempurna ketika membantu The Blues menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu hingga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Justeru, dia sedia untuk mengulangi prestasi tersebut bagi membantu Chelsea memperbaiki kedudukan dalam saingan UCl, sekali gus memiliki peluang cerah melangkah ke pusingan kedua secara automatik.
“Saya berada dalam kondisi terbaik ketika ini dan aksi di atas padang sudah mencerminkan kemampuan sebenar. Bagaimanapun, saya masih berada pada landasan untuk kembali ke prestasi lama.
“Saya tahu ia mengambil masa terlalu lama tetapi saya gembira kerana dapat kembali bermain dengan kerap. Sudah tentu saya mahu menampilkan aksi serupa ketika berdepan Ajax nanti,” katanya.
Sementara itu, James juga gembira dengan perkembangan ditunjukkan pemain muda, Josh Acheampong yang dilihat semakin mendapat kepercayaan pengurus, Enzo Maresca untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Saya sangat gembira untuk Josh (Acheampong) kerana dia mendapat peluang bermain dengan kerap di usia muda. Dia sangat berbakat dan kami akan terus membantunya untuk mencapai potensi sebenar,” ujarnya. – AGENSI