PETALING JAYA – Usaha membina semula padang kampung kini menjadi asas penting kepada pembangunan akar umbi bola sepak negara menerusi inisiatif #IniPadangKita yang bertujuan memulihkan padang tempatan agar generasi muda mendapat tempat latihan lebih selamat dan berkualiti.
Projek pertama #IniPadangKita dimulakan di Padang Bola Sepak Kampung Jawa, Hulu Langat iaitu gelanggang utama kepada Akademi Bola Sepak Serama yang melatih lebih 100 kanak-kanak termasuk daripada komuniti Orang Asli sekitar kawasan berkenaan.
Akademi itu digerakkan sepenuhnya oleh penduduk setempat dengan sokongan ibu bapa dan sukarelawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata inisiatif ini penting bagi memastikan lebih ramai pemain muda mendapat akses kepada kemudahan asas yang baik, seterusnya menjadi platform awal melahirkan bakat baharu bola sepak negara.
“Setiap pemain hebat bermula di padang seperti ini. Kami mahu anak muda berani bermimpi besar dan percaya perjalanan mereka boleh bermula dari kampung sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program tersebut.
Menurut Euan, matlamat utama program tersebut adalah menyediakan ruang latihan yang selamat dan menyeronokkan selain membentuk semangat berpasukan serta disiplin dalam kalangan kanak-kanak.
“Kita mahu wujudkan padang yang berkualiti dan terbuka kepada semua. Ia mungkin tidak sempurna tetapi cukup untuk mereka bermain dan berlatih dengan gembira,” katanya.
Kerja baik pulih Padang Bola Sepak Kampung Jawa bermula 16 Oktober yang lalu dengan gotong-royong bersama penduduk dan sukarelawan dengan garisan padang dicat semula, jaring gol diganti, pondok rehat dibina serta bangku pemain disusun rapi.
Dua hari kemudian, suasana padang kembali hidup dengan satu klinik bola sepak khas dikendalikan oleh bekas pemain kebangsaan seperti Farizal Marlias, Razman Roslan, Nizaruddin Yusof dan S. Subramaniam, bersama pemain KL City FC.
Kanak-kanak yang menyertai klinik ini bukan sahaja belajar teknik asas, malah melihat sendiri disiplin pemain profesional di padang.
Euan mengakui suasana itu mengingatkannya kepada zaman kecilnya bermain di padang berbukit tanpa pagar dan kemudahan asas.
“Dulu saya main di padang yang tak rata dan penuh lubang. Sekarang kita mahu anak-anak bermain dalam suasana lebih selamat. Dari situ datang keyakinan dan rasa bangga,” katanya.

Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias menyifatkan inisiatif seperti ini sebagai langkah penting memperkukuh asas bola sepak tempatan.
“Ini kali pertama saya terlibat dalam program akar umbi seperti ini. Seronok tengok semangat budak-budak, mereka inilah masa depan kita,” katanya.
Farizal yang kini menguruskan akademi khas penjaga gol berkata, latihan asas perlu diberikan perhatian sejak usia muda.
“Kalau dari awal ajar teknik salah, sampai ke peringkat profesional pun kesilapan sama akan berulang. Negara seperti Jepun dan Korea berjaya kerana bermula dengan asas yang betul,” jelasnya.
Beliau turut menekankan pentingnya pendidikan sukan dalam membentuk disiplin dan keperibadian pemain muda, sambil menyeru ibu bapa memainkan peranan bersama jurulatih.
Program #IniPadangKita kini dilihat sebagai contoh terbaik bagaimana komuniti boleh bersatu membangunkan bakat tempatan dan setiap padang yang diperbaharui menjadi simbol harapan baharu bola sepak Malaysia. KOSMO! ONLINE