KOTA TINGGI – Kereta hilang kawalan sebelum terbabas dipercayai menjadi punca meragut dua nyawa dalam insiden melibatkan sebuah Toyota Vios di Kilometer 32 Jalan Tanjung Balau – Sedili awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa maut dikenali sebagai Muhammad Daniel Saberi, 21, bekerja sebagai anggota tentera.
Manakala identiti seorang lagi mangsa dikenali sebagai Aiza Nur Elysha Sabri, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu lelaki berusia 21 tahun terbabas sendiri hilang kawalan dan melanggar pokok kelapa sawit lalu terbakar.
“Ekoran itu pemandu dan penumpang hadapan Toyota Vios itu telah mengalami kecederaan parah serta terbakar seluruh anggota badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat telah dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan. Kes masih dalam siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusof berkata, hasil semakan mendapati, Muhammad Daniel dalam tempoh bercuti kerana masalah kesihatan. – KOSMO! ONLINE














