LONDON – Bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp memberi bayangan tidak akan kembali mengemudi pasukan itu dalam tempoh terdekat selepas dikaitkan kepulangannya ke Anfield ekoran prestasi merudum The Reds.
Skuad kendalian Arne Slot itu menanggung kekalahan keempat berturut-turut ketika tewas kepada Manchester United 1-2 di Anfield kelmarin sekali gus mencatat rekod buruk buat kali pertama sejak 2014.
Selepas meninggalkan kelab itu pada 2024, para peminat Liverpool mengharapkan kepulangan Klopp ke pangkuan pasukan sekiranya mereka terpaksa membuat keputusan untuk menukar pengurus.
“Saya pernah memberitahu sebelum ini bahawa saya tidak akan melatih pasukan lain di England. Jadi, secara teorinya jika kembali ke sana, pasukan itu adalah Liverpool.
“Adakah saya perlu membuat keputusan sekarang? Saya bersyukur kerana tidak perlu melakukannya, saya tidak akan kembali melatih pasukan kerana ada masa depan yang lebih baik untuk saya ketika ini,” katanya.
Klopp ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Bola Sepak Global untuk Kumpulan Red Bull selain bertugas sebagai penasihat untuk pihak pengurusan Bundesliga di Jerman.
“Buat masa ini saya tidak merindui pengalaman melatih pasukan, berdiri dua tiga jam dalam hujan dan menghadiri sidang akhbar empat kali seminggu. Saya juga tidak merindui suasana di bilik persalinan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Klopp menolak keputusan berbelanja besar pada jendela perpindahan lalu dengan membawa masuk ramai muka baharu menjadi punca kejatuhan prestasi Liverpool sebaliknya menganggap kesemua pemain berkenaan adalah sangat berkualiti. – AGENSI