KUALA LUMPUR – Kerajaan menawarkan diskaun saman sehingga 70 peratus bagi tempoh 1 November hingga 30 Disember ini, sebelum pelaksanaan mekanisme baharu pembayaran saman yang akan bermula 1 Januari 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kadar diskaun kali ini adalah yang tertinggi pernah diberikan oleh PDRM, sebagai peluang terakhir kepada orang ramai untuk menyelesaikan tunggakan saman.
“Sebelum ini potongan hanya sekitar 30 hingga 60 peratus. Untuk dua bulan terakhir tahun ini, kami beri peluang 70 peratus. Setakat ini, jumlah tunggakan saman kira-kira RM6.6 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, di Parlimen hari ini.
Saifuddin berkata, selepas tempoh diskaun berakhir, prinsip baharu “The Less You Delay, The Less You Pay” akan dilaksanakan sepenuhnya oleh PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula tahun hadapan.
“Selepas 30 Disember, tiada lagi tawaran pengurangan besar-besaran. Prinsip baharu ini memberi ganjaran kepada mereka yang membayar lebih awal, dan tiada diskaun bagi yang lewat,” ujarnya.
Katanya, orang ramai digalakkan untuk menyemak dan menjelaskan saman melalui portal MySIKAP, aplikasi MyJPJ, MyBayar PDRM, serta semua kaunter dan kiosk JPJ atau saluran pembayaran PDRM.
Sementara itu, Anthony menjelaskan bahawa dasar baharu ini diperkenalkan bagi menggantikan pemberian diskaun berasaskan kempen khas yang disifatkan tidak adil kepada mereka yang membayar saman lebih awal.
“Bermula 1 Januari 2026, pesalah trafik yang menjelaskan saman antara 1 hingga 15 hari akan menerima pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus manakala mereka yang membayar antara 16 hingga 30 hari akan menerima pengurangan sebanyak 33 peratus.
“Bagi pembayaran antara 31 hingga 61 hari, pesalah trafik perlu menjelaskan kompaun maksimum RM300, dan selepas hari ke-61, mereka berisiko untuk disenarai hitam,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE