KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat kawalan keselamatan menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, sebagai tuan rumah, Malaysia bertanggungjawab memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang persidangan berlangsung dengan mengambil pelbagai langkah proaktif.
“PDRM telah melaksanakan risikan awal, pemantauan berterusan serta penempatan pasukan khas di lokasi strategik bagi memastikan keselamatan optimum sepanjang tempoh persidangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi PDRM dalam menjamin keamanan negara, ketenteraman awam serta melindungi maruah Malaysia di mata dunia.
Dalam masa sama, Mohd. Khalid turut menasihatkan masyarakat agar terus mematuhi undang-undang dan menunjukkan sikap bertanggungjawab sepanjang tempoh persidangan bagi mengekalkan keharmonian serta ketertiban awam.
“Rakyat Malaysia diseru menunjukkan sikap bertangunggungjawab dan memgekalkan keharmonian.
“Ketertiban serta rasa hormat sesama masyarakat agar menjadi contoh kepada para delegasi asing yang hadir,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan agar semua pihak mengelak daripada sebarang bentuk provokasi, penyebaran maklumat palsu atau tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“PDRM akan mengambil langkah sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan keharmonian negara terus terpelihara,” tegasnya.
Mohd. Khalid turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, terutama di kawasan sekitar pusat persidangan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan laluan utama yang terlibat dengan kawalan trafik serta penutupan sementara.
“Gunakan aplikasi navigasi, rancang masa perjalanan dan berikan kerjasama penuh kepada anggota polis yang bertugas,” katanya.
Tambahnya, masyarakat juga digesa agar sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan persekitaran serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Keprihatinan dan kepekaan rakyat merupakan tunjang penting kepada keselamatan negara,” katanya.
Mohd. Khalid dalam pada itu menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dengan semangat perpaduan dan patriotisme. – KOSMO! ONLINE