GEORGE TOWN – Hujan lebat disertai angin kencang yang melanda beberapa kawasan di negeri ini, pagi tadi mengakibatkan tujuh kejadian pokok tumbang termasuk menghalang lalu lintas dan menghempap kabel elektrik.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis, insiden berlaku antara pukul 6 pagi hingga 8 pagi melibatkan beberapa lokasi utama di negeri ini antaranya Paya Terubong, Bayan Baru, Seri Balik Pulau, Jalan Perak dan Butterworth.
Katanya, antara kawasan terjejas adalah berhampiran Paya Terubong, Kem Sungai Ara, Jalan Bukit Lama Balik Pulau, Jalan Tun Sardon, Taman Lip Sin, Jalan Padang Benggali, Teluk Air Tawar, serta kawasan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau.
“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemotongan serta pengalihan pokok bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan orang awam. Pasukan bertindak segera melakukan kerja-kerja pembersihan bagi mengelakkan sebarang risiko berbahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kejadian dipercayai berpunca daripada cuaca hujan lebat dan tiupan angin kuat yang melanda negeri itu sejak awal pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan keadaan kini dilaporkan selamat serta terkawal. – KOSMO! ONLINE