BATU PAHAT – Enam penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres berselisih dengan maut apabila hanya cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka musnah dalam kebakaran akibat perlanggaran dengan sebuah lori di Kilometer 78.7 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazrul Yusri Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 9.10 malam.
Susulan itu katanya, 14 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah bas ekspres jenis Hino dengan sebuah lori jenis Isuzu lima tan. Terdapat tujuh mangsa lelaki termasuk pemandu bas berusia 23 hingga 48 tahun cedera ringan.
“Semua mangsa tersebut sudah keluar sendiri sebelum pihak bomba tiba. Pemandu lori berusia 35 tahun pula tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bas ekspres yang datang dari arah Johor Bahru hanya membawa enam penumpang dan mereka dipercayai memecahkan tingkap untuk keluar selepas pintu kecemasan di bahagian belakang gagal untuk dibuka manakala pemandunya keluar menggunakan pintu hadapan.
Ujarnya, kerja-kerja memadamkan kebakaran yang turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Kluang dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 12.03 tengah malam. – KOSMO! ONLINE