KUALA LUMPUR – Sebanyak 69 mangsa rugi kira-kira RM47.2 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim Pulangan Sewa Terjamin (GRR) yang ditawarkan oleh beberapa syarikat pemaju dan pengurusan hartanah di seluruh negara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishammuddin Hashim berkata, skim GRR yang diperkenalkan sekitar tahun 2000 kononnya menjanjikan pulangan sewaan tetap setiap bulan kini menjadi perangkap kepada ramai pembeli hartanah.
Beliau berkata, ramai mangsa kini terpaksa menanggung beban hutang bank selepas pihak syarikat gagal menunaikan janji yang dibuat.
“Ramai pembeli tertarik dengan tawaran skim GRR kerana dijanjikan bayaran sewaan mampu menampung ansuran pinjaman bank.
“Namun selepas menandatangani perjanjian, syarikat pengurusan berdolak-dalik dan gagal membayar seperti dijanjikan,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan AICB di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kebanyakan syarikat yang menawarkan skim tersebut tidak berdaftar dengan Pendaftar Skim Kepentingan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sekali gus menimbulkan keraguan terhadap status dan operasi mereka.
“Kami mengesyaki wang pelaburan yang dikutip daripada pembeli ini merupakan deposit haram, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan, yang melarang mana-mana pihak mengutip deposit pelaburan tanpa lesen sah,” ujarnya.
Beliau berkata, MHO bersama 69 orang telah membuat laporan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia, SSM dan terbaru Bank Negara bagi membolehkan siasatan penuh dilakukan terhadap syarikat-syarikat yang terlibat.
“Kami tidak lagi yakin jalan sivil mampu menyelesaikan masalah ini kerana kebanyakan syarikat yang menandatangani perjanjian GRR tidak mempunyai aset mencukupi.
“Kalau saman pun, mereka boleh tutup syarikat dan lepas tangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE