fbpx
TIAN SOON bersama Mohd Hairi berjumpa dengan penduduk Kampung Cina Kebun Teh, Johor Bahru bagi menyerahkan surat rayuan dan tuntutan melanjutkan tempoh pengosongan kawasan setinggan. Foto RAJA JAAFAR ALI

‘Mana sempat kami nak cari rumah sewa, pindah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sebanyak 36 buah keluarga yang menghuni di tanah rizab kubur Cina dan malaria di Kampung Cina Kebun Teh, di sini merayu kerajaan negeri supaya melanjutkan tempoh pengosongan rumah setinggan yang dihuni sejak 1946.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Cina Kebun Teh, Ling Meng Seng berkata, mereka memohon kerajaan negeri supaya memberi ruang kepada keluarga yang terlibat selama 30 hari.

“Pada 15 Oktober lalu, sebanyak 11 rumah dirobohkan oleh pihak berkuasa melibatkan rumah sewa yang disambung tanpa kelulusan.

“Baki 36 buah rumah lagi kami diberi masa dalam tempoh 14 hari. Mana sempat kami hendak cari rumah sewa, nak pindah lagi.

“Jadi kami harap kerajaan dapat mempertimbangkan rayuan penduduk yang sudah lama menetap di sini selama lebih 60 tahun,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Meng Seng mewakili penduduk menyerahkan notis rayuan kepada wakil Menteri Besar Johor, Ling Tian Soon. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah.

Sementara itu, Mohd. Hairi berkata, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh pengosongan selama sebulan bermula hari ini.

“Kita tidak zalim. Kita beri ruang dan peluang supaya mereka boleh cari penyelesaian dan membuat permohonan sewajarnya untuk mendapatkan rumah atau sewa di tempat lain terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Usahawan dan Koperasi negeri berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menambah baik kualiti hidup penduduk dan menghapuskan penempatan setinggan di Johor Bahru.

Katanya, kawasan itu sudah lama diduduki, malah ada penduduk yang menetap lebih 40 tahun.

Tambahnya, kerajaan negeri sedang melaksanakan pelan penstrukturan semula bagi menjadikan kawasan bandar sebagai zon pembangunan sifar setinggan.

Beliau memaklumkan, sebanyak 1,422 rumah setinggan di DUN Larkin dikenal pasti akan dirobohkan termasuk setinggan Kampung Melayu Majidee, Jalan Padu Kiri dan Padu Kanan, Larkin dan Kebun Teh.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN