PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita warga emas yang memberikan gula-gula kepada seorang kanak-kanak ketika menaiki transit aliran ringan (LRT) menyentuh hati ramai pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian video di Threads oleh @blur.user, memaparkan momen manis ketika wanita warga emas berkenaan mengeluarkan gula-gula daripada beg rodanya sebelum menghulurkan kepada seorang kanak-kanak yang duduk berdekatan.
“Naik LRT tadi perasan ada nenek ni. Kuat lagi nenek ni naik LRT sorang. Lama saya perhati dari jauh. Tak lama lepas tu, dia ambil sesuatu dalam beg roda dia. Gula-gula banyak. Dan dia panggil adik depan tu dan hulur. Teringat dekat arwah tok. Semoga nenek sihat-sihat selalu. Amin,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian itu mencetuskan rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang terharu dengan keikhlasan dan keramahan warga emas tersebut.
“Ada lagi ya orang macam ni. Suka bagi gula-gula dan seringgit. Bestnya. Orang macam ni lah yang selalu buat budak-budak gembira walaupun baru je tadi kena tibai (dimarahi) dengan mak,” komen Zers.
“Tengok video macam ni pun aku menangis. Semoga nenek sihat-sihat selalu,” kata Sofwah.
“Teringat dekat sorang tok ni. Tiap kali dia lalu depan rumah, mesti dia berhenti dan panggil kami untuk bagi coklat. Sampai sekarang jadi coklat kegemaran. Al-Fatihah buat tok,” komen Sarah. – KOSMO! ONLINE
View on Threads