KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Cesson-Sevigne.
Pada pusingan pertama yang berlangsung di Glaz Arena sebentar tadi, gandingan No.5 dunia itu mudah menewaskan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dari Korea Selatan 21-9, 21-13.
Turun sebagai pilihan ketujuh kejohanan, Wei Chong-Kai Wun menampilkan aksi cukup baik bagi mendominasi sepenuhnya perlawanan sebelum menang dalam tempoh 27 minit sahaja.
Aksi dipamerkan anak-anak buah Herry Iman Pierngadi itu menunjukkan bahawa mereka layak untuk menghuni ranking kelima dunia ketika ini.
Menjelang pusingan kedua Khamis nanti, Wei Chong-Kai Wun dijadualkan bertemu Ben Lane-Sean Vendy yang menewaskan gandingan profesional, Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Azriyn-Wee Kiong yang melakar kejutan mara ke suku akhir Terbuka Denmark minggu lalu terpaksa akur apabila tewas straight set 14-21, 13-21.
Turut tersingkir adalah beregu campuran profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tewas 17-21, 17-21 kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand. – KOSMO! ONLINE