PETALING JAYA – Kerajaan akan mewujudkan Strategi Kebangsaan Anti Rasuah bagi meningkatkan budaya etika dan integriti dalam perniagaan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan baharu itu akan memanfaatkan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) serta mempercepat pelaksanaan inisiatif dan memastikan keberkesanannya kepada usahawan.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan ketika Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK) Bil. 1/2025 di Kuala Lumpur hari ini.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui dasar yang inklusif, progresif dan berpaksikan integriti.
“Matlamat kita jelas iaitu untuk menjadikan PMKS sebagai pemacu utama ekonomi nasional dan serantau serta mewujudkan peluang lebih luas kepada rakyat selari dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan pembangunan Malaysia Madani,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat terbabit turut menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 dengan kemudahan pinjaman dan jaminan bernilai RM50 bilion bagi menyokong pertumbuhan PMKS dan koperasi di seluruh negara.
“PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara di mana ia sahaja telah menyumbang 39.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan membuka peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat.
“Justeru, kejayaan ekonomi Malaysia pada masa hadapan sangat bergantung kepada keupayaan kita dalam memperkasa sektor ini agar terus berdaya saing, inovatif dan mampan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE