fbpx
SEBAHAGIAN peserta memulakan larian pada acara Spartan Malaysia hujung minggu lalu. - SPARTAN MALAYSIA

Spartan Malaysia tarik lebih 2,000 peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lebih 2,000 peserta dari 30 buah negara hadir ke Gamuda Cove, Dengkil bagi menyahut cabaran ekstrem dengan menyertai perlumbaan Spartan Malaysia 2025 yang berlangsung hujung minggu lalu.

Acara itu bukanlah sekadar perlumbaan tetapi simbol kebangkitan baharu buat jenama Spartan di Malaysia apabila dianjurkan buat julung kali hasil kerjasama strategik antara SCORE Sports Management dan Runrio Thailand.

Lebih manis, kerjasama tersebut menyaksikan mereka menjadi pemegang lesen rasmi bagi penganjuran acara Spartan di Malaysia, Thailand dan Singapura untuk tempoh tiga tahun bermula 2025 hingga 2027.

Kehadiran peserta-peserta dari negara luar seperti Iceland, Austria, Sweden dan Argentina membuktikan bahawa Spartan Malaysia memiliki tarikan tersendiri sehingga mampu merentasi sempadan benua.

Bagaimanapun, tumpuan terarah kepada wakil negara, Saddam Pittli yang tampil cemerlang apabila muncul juara dalam dua kategori disertai, iaitu acara 21 kilometer (km) serta 10km lelaki dengan masing-masing menawarkan 30 dan 25 halangan.

Sementara itu, kategori 21km dan 10km wanita turut menyaksikan dominasi peserta dari Vietnam, Kim Luu Linh yang berjaya memenangi kedua-dua kategori tersebut.

ANTARA halangan yang perlu diharungi setiap peserta pada perlumbaan tersebut. – SPARTAN MALAYSIA

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports, Patricia Tan menyifatkan sambutan hangat yang diterima pada penganjuran kali ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia mula menunjukkan minat dengan aktiviti sukan lasak.

“Kami sangat gembira dapat menyaksikan kepulangan Spartan ke Malaysia dengan aura yang cukup positif. Kerjasama dengan Runrio Thailand juga mampu mengukuhkan lagi Spartan Malaysia pada masa akan datang.

“Inilah apa yang kami maksudkan dengan membina legasi Spartan di Malaysia, iaitu acara yang bukan sahaja mengangkat sukan, malah turut menyumbang kepada komuniti dan juga negara,” katanya.

Selain kategori dewasa, Spartan Malaysia turut dimeriahkan menerusi penyertaan kanak-kanak dalam perlumbaan dengan jarak satu hingga tiga kilometer.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Runrio Thailand, Boonperm Intanapasat berkata, pihaknya mahu menjadikan Spartan Malaysia sebagai platform yang mengangkat semangat komuniti dan pelancongan sukan.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Spartan Malaysia sebagai acara antarabangsa yang melambangkan perlumbaan berkualiti, mempromosikan pelancongan sukan selain membina semangat kekeluargaan dan komuniti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN