fbpx
SIVASANGARI terus menunjukkan konsistensi permainan dengan terbaharu muncul naib juara di California minggu lalu.

Sivasangari dapat ‘hadiah’ Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hadiah Deepavali terbaik diraih bintang skuasy wanita negara, S. Sivasangari apabila melonjak ke tangga keenam dunia, iaitu kedudukan paling tinggi dalam kariernya.

Rankingnya melonjak naik dua anak tangga daripada kedudukan kelapan sebelum ini atas kejayaan muncul naib juara pada Kejohanan Terbuka Silicon Valley yang berlangsung di California, Amerika Syarikat minggu lalu.

Perkembangan positif itu diumumkan malam kelmarin menerusi kemas kini terbaharu dilakukan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dengan mengambil kira keputusan-keputusan dalam kejohanan terdahulu.

Pada aksi Terbuka Silicon Valley, pemain berusia 26 tahun itu menyingkirkan dua pemain Mesir, Kenzy Ayman dan Salma Hany serta wakil tuan rumah, Amanda Sobhy dalam laluan ke pentas final.

Bagaimanapun, hasratnya untuk menjulang gelaran pada kejohanan bertaraf PSA Gold itu tidak kesampaian apabila tewas kepada seorang lagi pemain Amerika Syarikat yang merupakan juara bertahan, Olivia Weaver.

Sementara itu, seorang lagi pemain wanita negara, Rachel Arnold turut memperbaiki kedudukan dalam ranking PSA apabila naik satu anak tangga untuk menghuni tangga ke-19 dunia ketika ini.

Dalam kategori lelaki pula menyaksikan pemain No.1 negara, Ng Eain Yow mengekalkan kedudukannya untuk terus menghuni ranking ke-12 dunia.

Terbaharu, Sivasangari meneruskan cabaran dengan beraksi pada kejohanan Terbuka Amerika Syarikat, namun terpaksa akur tewas 11-13, 12-10, 9-11, 10-12 kepada Sana Ibrahim dari Mesir di pusingan kedua semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI