SHAH ALAM – Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta peronda (MPV) polis di persimpangan lampu isyarat Padang Jawa menghala Seksyen 16 di sini, semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 6.19 petang itu menyebabkan mangsa 27 tahun cedera pada tulang pinggul dan luka di tangan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika MPV polis datang dari arah Jalan Sungai Rasau menghala ke Seksyen 19.
“Setibanya di simpang lampu isyarat dalam keadaan memasang lampu beacon dan siren, kenderaan itu dilanggar motosikal mangsa.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang cedera manakala anggota polis bertugas tiada kecederaan serius,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan dalaman dibuat bagi mengenal pasti jika ada kecuaian daripada polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097 atau balai polis berdekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE