LONDON – Penumpang sebuah kereta api berlari keluar dalam keadaan panik selepas dua letupan menggegarkan gerabak dalam kejadian di barat daya London, lapor akhbar Metro UK semalam.
Gangguan perjalanan itu berlaku pada perkhidmatan South Western Railway (SWR) laluan di antara Shepperton dan Waterloo selepas api muncul di bawah sebuah gerabak pagi semalam.
Seorang penumpang, Adam Williamson yang menaiki tren bersama anak perempuannya berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 10.20 pagi (waktu tempatan) ketika mereka berhenti di stesen Fulwell berhampiran Twickenham.
Selepas berpindah keluar, letupan kedua menggegarkan gerabak di tempat mereka duduk beberapa minit sebelumnya.
“Kami meninggalkan gerabak di hujung ketika asap keluar. Kemudian, terdapat dentuman kedua dan bola api muncul,” kata Williamson.
Sementara iutu, jurucakap SWR berkata: “Kami sedang menyiasat insiden di Fulwell, yang dipercayai berkaitan dengan bekalan elektrik kereta api itu. Terdapat asap namun, tiada laporan kebakaran dan tiada kecederaan.” – AGENSI