KOTA BHARU – Sebanyak 3,910 saman dengan kutipan RM1.17 juta dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan Singapura yang tidak memasang dan mengaktifkan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sempena penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bermula 1 Julai hingga semalam.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kesemua pemandu yang disaman sudah diarah untuk menjelaskan saman maksimum sebanyak RM300.
Menurutnya, kenderaan milik persendirian rakyat Singapura itu akan disita jika gagal menjelaskan saman tersebut.
“Selain itu, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 1,269 notis peringatan terhadap semua kenderaan persendirian syarikat yang belum memasang tag RFID.
“Selepas saman dikeluarkan, semua pemandu perlu menjelaskan saman dalam kadar segera manakala bagi notis peringatan pula, mereka wajib memasang dan mengaktifkan tag RFID secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Program Kursus Pemandu Efisien Kepada Pemandu di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Kifli memberitahu, pihaknya memohon agar pemandu kenderaan syarikat persendirian di Singapura yang menerima notis agar memasang segera tag RFID bagi mengelakkan mereka dikenakan saman.
“Pemeriksaan itu membabitkan tiga lokasi luar kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Komplek Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Taman Daya di Johor Bahru, Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE