KUALA LUMPUR – Halang lalu lintas kekal menjadi saman paling tinggi dikeluarkan kepada pengguna jalan raya sempena pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) sejak 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesalahan abai isyarat lalu lintas pula merekodkan kesalahan kedua tertinggi di antara 81,800 saman yang dikeluarkan setakat semalam.
Beliau berkata, saman yang dikeluarkan adalah hasil operasi semasa tempoh advokasi bagi mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang termasuklah peraturan kecil di jalan raya.
“Jumlah saman dikeluarkan iaitu sebanyak 81,800 amat membimbangkan. Kita takut jika dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, jumlah saman terus meningkat.
“Sebab itu kita nak masyarakat Kuala Lumpur tidak kira dari luar sekali pun supaya patuh peraturan jalan raya walaupun yang sekecil-kecilnya. Kita kena mula sekarang kalau mahu perubahan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Tegas Fadil, jumlah saman yang tinggi itu menunjukkan tahap pematuhan masyarakat masih rendah walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak menggunakan jejantas (1,042 kesalahan), nombor plat kenderaan kabur atau ‘fancy’ 1,000 kesalahan, berhenti melebihi garisan putih (575) dan tidak berhenti di lampu isyarat meeah (541).
“Selain itu, penunggang motosikal tidak memakai atau tidak mengikat topi keledar dengan betul (296 kesalahan), guna telefon bimbit (395) dan berhenti di petak kuning (367 kesalahan),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE