PASIR PUTEH – Seorang anggota polis berpangkat koperal bersama rakannya yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengurung seorang remaja serta memeras ugut ibu mangsa dengan meminta wang RM2,000 di Bukit Merbau, Selising di sini kira-kira tiga minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Izzat Fitri Mohd. Hashim, 37, bertugas di sebuah balai polis di Terengganu dan Nik Rosli Nik Lah, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Aiman Azahan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa mengurung seorang remaja berusia 17 tahun bagi maksud memeras wang sebanyak RM2,000 daripada ibunya yang berusia 38 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di Bukit Merbau, Selising di sini kira-kira pukul 8 hingga 11 pagi pada 4 Oktober lalu,
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM3,500 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak mengganggu keluarga mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula.
Mohd. Izzat Fitri membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah manakala rakannya tidak membayar ikat jamin tersebut dan kini ditahan di lokap Balai Polis Cherang Ruku di sini. – KOSMO! ONLINE