fbpx
Finas menawarkan Dana Promosi dan Penyertaan Antarabangsa (DPPA) mencecah RM250,000 kepada penerbit tempatan bersempena ASEAN Film dan TV Summit (AFTS) 2025 Siri Kedua, akhir bulan ini. - SYAKIR RADIN

Finas tawar dana RM250,000 bagi ‘pitching’ terbaik AFTS2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU KELANG – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menawarkan Dana Promosi dan Penyertaan Antarabangsa (DPPA) mencecah RM250,000 kepada penerbit tempatan bersempena ASEAN Film dan TV Summit (AFTS) 2025 Siri Kedua, akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, hadiah kepada pemenang bagi lima kategori itu antara lain menggalakkan projek penerbitan bersama (co-production) membabitkan penggiat industri kreatif di Asia Tenggara dengan menjadikan dana sebagai perbelanjaan ke sesi pitching di luar negara nanti.

“AFTS2025 membuka ruang besar kepada penerbit dan pengarah tempatan untuk mempamerkan idea baharu, berkolaborasi dan membawa karya mereka ke peringkat antarabangsa di hadapan wakil penyiar di rantau ini.

“Melalui dana ini, kami harap dapat membuka ruang buat penerbit ‘keluar’ dengan lebih banyak merealisasikan projek penerbitan bersama yang mampu menonjolkan keunikan budaya ASEAN di layar global.

“Insentif kepada penerbit lokal yang berjaya dalam sesi pembentangan naskhah di hadapan penyiar dari Asia Tenggara di sini nanti antara matlamat utama dapat membiayai kos picthing di luar negara,” katanya selepas pengumuman AFTS 2025, di Finas, di sini, hari ini.

AFTS 2025 yang berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini dianjurkan Finas dengan kerjasama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Katanya, sehingga tarikh penyertaan ditutup sebanyak 43 produksi tempatan menyatakan kesediaan menyertai sesi pitching membabitkan penggiat industri filem, televisyen dan kandungan digital.

Penganjuran siri kedua dalam menjadikan Malaysia sebagai hab utama industri kreatif ASEAN dengan matlamat memperkukuh jaringan strategik antara penyiar, penerbit dan penggubal dasar dari seluruh rantau.

Menurutnya, AFTS2025 bukan sekadar acara industri, tetapi platform untuk membina hubungan jangka panjang dan mencipta peluang baharu bagi penerbitan rentas sempadan.

“Antara pengisian utama AFTS2025 yang bakal disertai 300 penggiat seni serantau adalah ASEAN Co-Production Forum yang berlangsung sehari penuh serta membincangkan hala tuju industri kandungan kreatif.

“Selain forum, acara itu turut menampilkan sesi pitching B2B dan co-production bersama penyiar serta platform OTT serantau, lawatan rasmi ke beberapa agensi media tempatan meraikan kepelbagaian budaya dan hospitaliti Malaysia,” katanya.

Bertemakan ASEAN United: Kreativiti Tanpa Sempadan, AFTS 2025 dijangka menghimpunkan lebih 20 organisasi penyiaran dan produksi dari seluruh rantau termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam, Kemboja, Brunei dan Laos.

Acara tiga hari itu bakal diisi pelbagai program seperti ASEAN Co-Production Forum, sesi pitching B2B dan co-production bersama penyiar serta platform OTT serantau serta lawatan rasmi ke beberapa agensi media tempatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN