AUSTIN – Max Verstappen meneruskan penguasaan menakjubkan di bumi Amerika apabila menjuarai Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) dengan penuh bergaya, sekali gus menghidupkan semula perebutan takhta Kejuaraan Dunia Formula Satu (F1) musim ini.
Pelumba Red Bull itu tidak memberi ruang kepada pencabar utama, Lando Norris dan pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri apabila memimpin perlumbaan sejak mula hingga ke garisan penamat di Litar Austin dalam cuaca panas terik.
Verstappen menamatkan saingan dengan kelebihan 7.959 saat di hadapan Norris yang memandu jentera McLaren, manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton di tempat keempat dan Piastri sekadar di tangga kelima.
Kemenangan tersebut merupakan kali keempat Verstappen bergelar juara di Texas, ketujuh di AS dan kemenangan kelimanya musim ini sekali gus menjadikan koleksi keseluruhan kepada 68 kemenangan sepanjang karier.
Lebih manis, ia juga kemenangan keempat berturut-turut Verstappen ke atas kedua-dua pelumba McLaren, sekali gus menutup jurang kejuaraan kepada hanya 40 mata dengan baki lima perlumbaan.
“Ini hujung minggu yang luar biasa untuk kami. Saya tahu ia tidak akan mudah kerana kelajuan antara kami sangat rapat. Kini kami kembali dalam perebutan kejuaraan dan perlu kekalkan momentum hingga akhir musim,” kata Verstappen.
Piastri kekal mendahului carta dengan 346 mata, diikuti Norris (332) dan Verstappen (306), sementara McLaren sudah pun mengesahkan gelaran konstruktor buat tahun kedua berturut-turut. – AGENSI














