KLANG – Empat individu cedera selepas terlibat dalam kemalangan empat buah kenderaan di Jalan Meru Tambahan, Kampung Bukit Cerakah di sini, pagi ini.
Kejadian itu melibatkan dua lori masing-masing membawa muatan tanah dan sampah serta dua kereta Perodua Myvi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan empat anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.07 pagi.
“Terdapat tiga lelaki warga asing dan seorang wanita berusia 34 tahun cedera dalam kejadian itu dan semua mangsa dikeluarkan daripada kenderaan sebelum ketibaan bomba.
“Mereka kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan bagi menerima rawatan lanjut. Operasi menyelamat itu berjaya dikawal kira-kira pukul 9.45 pagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE