KUALA SELANGOR – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan berkaitan cubaan membunuh seorang lelaki dalam kes tembak di sekitar daerah ini, dua minggu lalu.
Tertuduh, G. Pavittiran, 24, dan R. Kalai Selvan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan bacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Berdasarkan pertuduhan, Pavittiran bersama seorang yang masih bebas didakwa melepaskan tembakan dengan mengetahui ia boleh menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 29 tahun yang dilakukan di Taman Bendahara di sini, kira-kira pukul 11.10 malam, 7 Oktober lalu.
Kalai Selvan yang juga tukang gunting rambut pula didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu di sebuah kedai di Jalan Teluk Piah di sini, kira-kira pukul 3 petang hari sama.
Nurul Mardhiah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan. Sebutan semula pada 24 November depan.
Dalam pada itu, seorang pemandu lori, R. Suresh, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol, kelopak dan tiga peluru tanpa kebenaran di sekitar daerah ini, 12 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api( Penalti Lebih Berat) 1971 itu.
Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan seramai 10 individu dipercayai ahli kongsi gelap diberkas bagi membantu siasatan kes tembak seorang lelaki di taman perumahan itu. – KOSMO! ONLINE