KOTA BHARU – Pementasan teater Di Mana Putra? di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini, pada 17 dan 18 Oktober lalu, tampil sebagai wadah yang menyentuh jiwa penonton cilik dengan penceritaan sarat nasihat dan nilai murni.
Naskhah garapan novelis serta penggiat teater, Noormaziah Yaacob atau lebih dikenali Lamia Aimal ini dianggap unik kerana membawa watak Putra merentas perjalanan mimpi yang berpadu antara realiti, imaginasi, fantasi, sejarah dan kerohanian.
Di Mana Putra? menggabungkan watak-watak animasi dan tokoh ikonik termasuk Kapten Jack Sparrow, Peter Pan, Tok Kenali dan Tok Janggut dalam sebuah penceritaan ringkas, namun amat menghiburkan terutama kepada kanak-kanak.
Lebih 1,700 penonton yang mengisi ruang auditorium dua malam berturut-turut dipersembahkan dengan tiga genre nasihat iaitu secara sinis serta sindiran, kata-kata semangat dan mutiara kata ulama untuk merawat jiwa.
Penonton cilik pula diberi ruang beraksi bersama-sama barisan pelakon apabila tiba babak bermain di taman permainan dan diceriakan lagi dengan hadiah tidak diduga apabila secara spontan mereka diminta meneka ‘siapa pegang batu’.
Lebih penting, teater arahan Aqil Rozai di bawah produksi Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek) itu mampu membuka mata ramai terhadap dunia yang kini diselubungi isu keruntuhan sosial akibat ketaksuban terhadap gajet dan watak fantasi.
Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mohd. Radzi Omar berkata, pementasan teater kanak-kanak perlu diperluaskan di kawasan Pantai Timur terutamanya Kelantan dan diangkat sebagai salah satu medium membina masyarakat.
“Di sebelah Pantai Barat Semenanjung, kita lihat pementasan teater kanak-kanak dibuat secara aktif apabila terdapat banyak kumpulan melatih dan mengasah bakat-bakat cilik di pentas teater.
“Saya perlu akui tiada penggerak-penggerak teater di Kelantan berusaha mengetengahkan pementasan teater kanak-kanak kecuali Aspek, sedangkan negeri ini mempunyai ramai bakat yang boleh diketengahkan,” katanya ketika ditemui selepas pementasan teater Di Mana Putra? di Auditorium JKKN di sini baru-baru ini.
Katanya, JKKN boleh bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Pendidikan Negeri untuk bersama-sama mengangkat teater sebagai salah satu medium membina masyarakat bermula kanak-kanak di Kelantan.
Menurutnya, JKKN berhasrat untuk menghidupkan kembali Festival Teater Kebangsaan bermula tahun depan sebagai salah satu usaha untuk merancakkan kembali pementasan teater di seluruh negara.
“Kali terakhir festival berkenaan diadakan pada 2019 dan selepas dihentikan, perkembangan teater di negara ini dilihat perlahan.
“Kita amat berharap, bajet khusus untuk kebudayaan diteruskan dan JKKN akan berusaha ke arah menghidupkan kembali Festival Teater Kebangsaan bermula tahun depan.
“Antara sebab lain Festival Teater Kebangsaan perlu dihidupkan kembali adalah kerana ia telah melahirkan ramai tokoh seni seperti Allahyarham Khalid Salleh, Kalam Hamidi dan Allahyarham Datuk Syed Alwi Syed Hassan,” katanya. -KOSMO! ONLINE