PARIS – Bekas presiden Perancis, Nicolas Sarkozy meninggalkan kediamannya hari ini dan menuju ke penjara selepas didapati bersalah cuba mendapatkan pembiayaan Libya untuk kempen pilihan raya presiden pada 2007.
Beliau keluar dari rumahnya sambil berpegangan tangan dengan isteri, Carla Bruni dan menaiki kereta diiringi konvoi polis bermotosikal.
Sarkozy yang merupakan pemimpin Perancis dari 2007 hingga 2012, menjadi bekas ketua negara Kesatuan Eropah pertama menjalani hukuman penjara.
Beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada September lalu kerana konspirasi jenayah berhubung rancangan diktator Libya, Muammar Gaddafi untuk membiayai kempen pilihan rayanya.
Bekas presiden berusia 70 tahun itu merayu keputusan mahkamah dan mengecam ‘ketidakadilan’ terhadap dirinya. Beliau menjalani hukuman di Penjara La Sante, Paris.
“Jika mereka benar-benar mahu saya tidur di penjara, saya akan tidur di penjara tetapi dengan maruah yang tidak tercalar,” katanya kepada media selepas keputusan pada 25 September lalu.
Sementara itu berpuluh-puluh penyokong berhimpun di luar rumah bekas presiden itu awal hari ini sambil membawa potretnya.
Sarkozy menjadi pemimpin Perancis pertama dipenjarakan sejak Philippe Petain, ketua negara kolaborator Nazi yang dipenjarakan selepas Perang Dunia II. – AFP