PETALING JAYA – “Allah kurniakanku zuriat tepat pada hari lahirku, tarikh lahir saya 21 Oktober 1995, anak saya 21 Oktober 2025.”
Demikian perkongsian gembira pendakwah selebriti Da’i Syed yang teruja apabila anak keduanya selamat dilahirkan pada tarikh lahirnya sendiri semalam.
Bersyukur atas kurniaan tersebut, Syed atau nama lengkapnya Syed Shah Iqmal Mohammad Shaiful Jamallulail, 30, akan menunaikan nazarnya hajatnya dimakbulkan Allah.
“Alhamdulillah telah lahir anak kami pada pukul 12.36 pagi tadi.
“Sepatutnya anak kami lahir pada penghujung bulan ini, namun saya telah bernazar jika anak ini lahir pada sama tarikh lahr saya, maka akan saya laksanakan akikah dua ekor kambing.
“Alhamdulillah, Allah kabulkan nazar ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelantun lagu Albi Nadak itu tidak mendedahkan jantina anak keduanya itu kepada umum.
Sebelum ini, Syed mengumumkan isterinya, Hana Ismail sedang hamil anak kedua pada Julai lalu.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2022 sebelum ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Bernama Sharifah Fatma Nour Jamalullail kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE